29.8.06

Dah alang-alang!

Dah alang-alang mencemari blog ni dengan kisah orang paling maksum dalam dunia sekarang ni kahwin kelmarin, ini dia kenyataan penuh CAP tentang the Most Stupid Wedding of the Year.



Berikut adalah kenyataan penuh CAP.
GAMBARAN dan laporan melampau berhubung perkahwinan seorang artis terkenal dengan seorang usahawan tempatan di dada-dada akhbar baru-baru ini telah menimbulkan persoalan, apakah kesannya kepada masyarakat sehingga mengkesampingkan isu-isu yang lebih penting daripadanya.

Adakah wartawan-wartawan hiburan tidak tahu memilih sesebuah berita atau itulah sahaja sebuah 'current issue'. Sedangkan banyak lagi isu yang boleh diketengahkan untuk tatapan umum.

Yang nyata kesannya kepada masyarakat ialah sehingga menganggap isu-isu itu adalah isu negara, isu terpenting dan kadang-kadang menenggelamkan teguran atau nasihat seorang mufti atau ulama.

Lebih parah lagi apabila isu-isu seperti ini di 'highlight', menggambarkan masyarakat Islam khususnya, gila kepada budaya pembaziran, budaya kemegahan, budaya hiburan. Ia menggambarkan juga di Malaysia ini orang-orang yang penting ialah golongan artis.

Kini, isu percintaan, perkahwinan, persiapan ke arah majlis kenduri perkahwinan melampaui isu-isu lain. Ia bukan saja mendapat penonjolan di dalam akhbar perdana di muka hadapan, tetapi juga mendapat liputan khas melalui TV, satu-satunya media elektronik yang sangat memberi pengaruh.

Semua liputan dan berita seolah-olah pasangan ini pasangan yang cukup 'ideal', melebihi percintaan Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Uda dan Dara dan kemegahan membina tugu cinta mereka sama dengan Shah Jahan yang membina Taj Mahal.

Tetapi masyarakat yang mabuk dengan isu ini, yang menganggap artis adalah segala-galanya lupa beberapa sejarah pahit yang memalukan.

Perkahwinan sememangnya baik dan seharusnya kita berdoa agar pasangan (tidak saja artis) kekal jodoh sehingga akhir hayat. Tetapi kenapa berita ini menjadi lebih penting daripada yang lain dan digembar-gemburkan oleh media.

Ia sudah menjadi riak, takbur, membazir, melampau dan kadang-kadang sampai melanggar tata susila hukum. Namun apa yang mendukacitakan, ulasan-ulasan dan paparan dari wartawan hiburan seperti ini tidak mengambil kira hal-hal hukum kerana mahu meng'highlight'kan orang-orang seumpama ini.

Antaranya ialah sebanyak tujuh kamera digunakan di Masjid Wilayah Persekutuan bagi tujuan merakamkan upacara perkahwinan. Siaran secara langsung pula dibuat. Pentas khas diletakkan di dalam ruang masjid, satu-satunya rumah ibadah. Seramai 30 krew produksi pula akan bekerja keras.

Memanglah masjid sangat baik dijadikan tempat ijab qabul pernikahan. Tetapi apabila ia menunjukkan seperti melampau, riak dan bermegah-megah, menunjukkan kehebatan, apakah ia baik di sisi agama?

Kita tidak tahu, apakah ia mendapat restu dari pihak pentadbir agama dan masjid di situ? Jika ia direstu dan diluluskan begitu mudah, alangkah malangnya pemikiran sebegitu rupa kerana pihak bertanggungjawab juga terbawa-bawa dengan budaya keglamoran artis-artis.

Bukan masanya lagi apabila ada orang berkata, apa pun yang dilakukan oleh seseorang, itu adalah hak mereka. Memang sesiapa pun boleh mengeluar hantaran berjuta ringgit, belanja majlis perkahwinan berjuta, merancang akad nikah di dalam kolah masjid atau sebentuk cincin bernilai jutaan ringgit.

Tetapi dalam masa yang sama, tidakkah kita merasa prihatin, sensitif dan peka terhadap enam ratus kanak-kanak yang menghidap sakit jantung, yang melanda kebanyakan keluarga berpendapatan rendah?

Bagaimana dengan nasib mangsa peperangan di Lubnan, Palestin, Iraq dan Afghanistan? Bagaimana dengan nasib masa depan anak dan isteri yang ditinggalkan ini?
Tergamakkah kita memakan juadah dan majlis santai meraikan pengantin, tetapi dalam masa yang sama, ada mereka yang menjerit kesakitan kerana luka dan berpenyakit kronik.

Memang di sisi lain mungkin akan dijawab ia tidak ada kena mengena. Tetapi itulah sebenarnya
gambaran masyarakat kita. Jika ia tidak dilakukan oleh pihak yang terlibat, siapakah pula yang bertanggungjawab menggembar-gembur hal ini.

Lebih-lebih lagi para artis di negara kita menjadi 'role model' kepada golongan remaja dan kami percaya kita perlu menyemai budaya yang lebih baik dan bukannya pembaziran dalam melakukan sesuatu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat hal ini. Ia bukan satu tafsiran cemburu tetapi mestilah dilihat dalam bentuk keprihatinan, kepekaan terhadap orang lain yang turut menjadi anggota masyarakat Malaysia. Ia juga satu bentuk budaya bermegah, membazir yang tidak dituntut oleh mana-mana agama mahupun budaya yang sihat.

Kesederhanaan adalah yang terbaik dan CAP mengharap semua pihak dapat mengamalkan sikap dan budaya ini



Dan apa kata sipengantin agaknya ya? Pastinya jawapannya akan berbunyi lebih kurang begini ler kot (jawapan skima):

"Apa yang Siti lakukan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, jauh lagi bermegah-megah. Siti cuma ingin berkongsi kegembiraan ini dengan peminat, sebab tanpa peminat siapalah Siti. Siti mahu mereka dapat merasai apa yang Siti rasai bilamana memakai baju yang bernilai ratusan ribu ringgit itu, dapat menonton di kaca TV betapa mewahnya hidup Siti sekarang dikelilingi dengan limpahan mutiara yang tak terhingga. Dan tidak sikit pun Siti berniat nak melukakan hati bekas isteri suami Siti dan anak-anak mereka. Lagipun mereka kat Asutralia. Apa salahnya Siti kongsi kegembiraan ini. Lagipun kami bernikah pada hari Israk Mikraj. Dan janganlah kita pertikai belanjawan perkahwinan Siti yang menelan belanja jutaan ringgit ini. Ini semua Siti lakukan demi peminat dan suami Siti _ yang Siti tak rampas dari sesiapapun, ya."

No comments: