29.6.09

Laskar Pelangi - Membuka Mata, MengusikJiwa


Sejujurnya saya tidak mengetahui bahawa Laskar Pelangi itu sebenarnya adalah sebuah novel tulisan Andrea Hirata yang kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah flem atas judul sama lewat tahun 2008. Dan sejarah perfileman tercipta bilamana filem itu muncul menjadi filem pecah panggung paling laris di Indonesia. Ever.

Yang saya tahu Laskar Pelangi adalah sebuah lagu dendangan kumpulan Indonesia Nidji yang menjadi kesukaan isteri saya. Memang lagunya merdu lantas saya jua amat menyukainya. Namun seperti lagu-lagu lain saya tidak begitu memerhatikan baris lirik lagu itu. Saya mendengar sekadar untuk merasa tehibur.

Sehinggalah pada Mei lalu saya singgah di blog sahabat siber saya Saudara Feisal (matsalo.blogspot.com) yang bekerja di Indonesia dan betapa beliau menyukai filem ini. Ini membuatkan saya menjadi teruja untuk menonton filem ini. Saya ada juga ternampak novel Laskar Pelangi ini di geri PTS sewaktu menjenguk Pesta Buku Antarabangsa di PWTC April lalu. Namun saya ini umpama orang Melayu lupa diri yang lebih meminati novel-novel berbahasa Inggeris hanya sekadar memandang sahaja.

Sebenarnya buku ini adalah tetralogi buku karya Andrea berkenaan kisah masa muda beliau di Belitong itu sendiri. Buku berikutnya adalah Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov. Buku ini juga tercatat sebagai buku sastera Indonesia terlaris sepanjang sejarah.

Dua hari selepas saya menonton Transformers 2: Revenge of the Fallen yang mengujakan sangat dan ketika saya di bawah sedar masih terbayang-bayang peperangan hebat antara puak Autobots dan Decipticon, tiba-tiba ada rakan baru dari alam siber memberitahu bahawa Laskar Pelangi The Movie boleh di download di Internet.

Makanya malam itu saya bersama Asma, anak dara nombor dua saya, berjaga lewat menonton Laskar Pelangi. Verdictnya? Without a doubt, one of the best films ever.

Tiba-tiba keterujaan saya terhadap babak peperangan antara mesin dalam filem Transformers hilang lenyap setelah menonton filem ini. Kini apa yang berlegar di pandangan saya dan di fikiran saya, hanyalah 10 orang anak-anak di sebuah kepulauan kecil di Selatan Sumatera lewat tahun 70an yang menangis, ketawa, bermain dan menyusuri hidup susah amat sambil terus-terusan menimba ilmu pendidikan. Novel ini bercerita tentang kehidupan 10 anak dari keluarga miskin yang bersekolah (SD dan SMP) di sebuah sekolah Muhammadiyah di pulau Belitong yang penuh dengan keterbatasan.

Dipimpin dengan penuh kasih sayang oleh guru besar Pak Harfan serta guru wanita cekal Bu Muslimah, 10 kanak-kanak ini adalah:

  • Ikal – watak Andrea Hirata Seman itu sendiri.
  • Lintang; Lintang Samudra Basara bin Syahbani Maulana Basara
  • Sahara; N.A. Sahara Aulia Fadillah binti K.A. Muslim Ramdhani Fadillah
  • Mahar; Mahar Ahlan bin Jumadi Ahlan bin Zubair bin Awam
  • A Kiong (Chau Chin Kiong); Muhammad Jundullah Gufron Nur Zaman Syahdan; Syahdan Noor Aziz bin Syahari Noor Aziz
  • Kucai; Mukharam Kucai Khairani
  • Borek aka Samson
  • Trapani; Trapani Ihsan Jamari bin Zainuddin Ilham Jamari
  • Harun; Harun Ardhli Ramadhan bin Syamsul Hazana Ramadhan
Oh ya, mereka kini kawan baik saya!!!

Filem ini punya segala-galanya bagi saya. Lakonan mantap, lakon layar berkualiti tinggi, runut bunyi membuai emosi dan sinematografi nan indah. Sebagai seorang yang juga membesar di tahun 70an di sebuah petempatan penuh bijih timah, kehidupan di Belitong yang melatari cerita ini agak serupa dengan latar belakang zaman kanak-kanak saya. Lalu saya amat memahami. Walau hidup saya tidak sesusah anak-anak di Belitong ini (kerana selayaknya hidup saya lebih mirip dengan anak-anak di Gidong – penempatan orang-orang lebih berada di sana), namun paparan Laskar Pelangi amat dekat dengan hati. Syukur di tempat saya anak-anak tidak disekat untuk bergaul walau berbeda kelas penghidupan.Malah kami bersekolah dan bermain bersama.

Kembali kepada filem ini, garapan ceritanya amat meruntun emosi maka saya pasti anda akan ketawa terbahak dan mengalir air mata tersentuh rasa di sepanjang perjalanan flem ini. Kalau anda pernah menonton Slumdog Millionaire yang menang banyak Oscar itu, Laskar Pelangi ini pada pendapat saya adalah lebih baik. Jauh lebih baik.

Saya tidak punya apa yang boleh diperkatakan lagi. Cuma saya hairan amat kenapa cerita sebegini hebat tidak ditayangkan di Malaysia sampai hari ini. Malah DVDnya juga tidak ada lagi dijual di sini (tetapi dengarnya sudah lama ada di Singapura).

Apapun, keesokan paginya, setelah isteri saya bersama kakak dan ibunya bertolak ke Kuala Pilah, saya mengajak ketiga-tiga anak dara saya dan terus saya memandu laju ke MPH di One Utama untuk membeli novel Laskar Pelangi serta Sang Pemimpi. Buku lain sudah kehabisan stok. Dan novelnya – diadaptasi dengan baik sekali oleh PTS untuk pasaran Malaysia - itu sudah membuatkan saya kembali insaf dan kini mencintai sepenuhnya bahan bacaan bahasa Melayu.

Bapak: Pergi beli dan bacalah Laskar Pelangi. Anda pasti akan merasa lebih berinspirasi. Tidak banyak buku yang dapat melakukah hal sedemikian. Dan kalau boleh tonton filemnya jugak... susah mahu jumpa filem yang boleh mengalirkan pelbagai rasa emosi seperti ini. A+ dari saya.

The original Laskar Pelangi